Monday, 1 December 2014

Kolam Air Panas Kampung La


Kolam Air Panas Kampung La ini terletak di kawasan pendalaman Hulu Besut, kira-kira 35 km dari Bandar Jertih, Terengganu. Bersempadan dengan kawasan Hutan Simpan Gunung Tebu dan FELDA Tenang, Hulu Besut, Kolam Air Panas Kampung La atau lebih dikenali “La Hot Spring” mula dibuka kepada orang ramai sebagai destinasi pelancongan pada tahun 1992.


Pusat rekreasi ini sebenarnya sudah lama wujud dan dikunjungi oleh penduduk tempatan pada setiap hujung minggu dan cuti am untuk menikmati keindahan alam semulajadi. Pengunjung juga berpeluang melihat air panas yang keluar menerusi lubang dari sebuah bukit dan terus mengalir ke dalam kolam yang disediakan.

Air panas yang mengalir ini mengandungi kimia "Sulfur" atau belerang dengan kepanasannya mencapai 49 darjah celsius. Ianya berkhasiat untuk mengubati penyakit kulit dan juga boleh digunakan untuk mandi. Penemuan mata air panas sulfur menjadikan kawasan ini terkenal. Air panas sulfur dipercayai dapat memberikan pelbagai kebaikan kepada kesihatan tubuh terutama yang menghadapi masalah kulit dan saraf. 

Pantai Kemasik

Pantai Kemasik di Daerah Kemaman terletak 19 km dari Bandar Chukai di Kemaman iaitu kira-kira 20 minit perjalanan. Pemandangan yang indah, pantai yang bersih, air yang jernih, pasir berwarna keemasan dan bukit berbatu menjadi tarikan utama pengunjung untuk datang ke Pantai Kemasik.

Pantai Kemasik sering menjadi tumpuan penduduk tempatan terutama pada hujung minggu dan hari kelepasan. Berhampiran Pantai Kemasik juga terdapat sebuah perkampungan nelayan. Kepada yang meminati bidang fotografi, Pantai Kemasik menawarkan keindahan tersendiri yang sukar ditemui di pantai lain.


Di pantai ini juga terdapat beberapai gerai berhampiran untuk kemudahan pengunjung yang datang ke Pantai Kemasik. Tandas Awam dan tempat letak kereta juga dibina di Pantai Kemasik.

Hutan Lipur Air Menderu


Hutan Lipur Air Menderu terletak di Hutan Simpan Rasau Kerteh di Kampung Chabang, kira-kira 10 km dari Bandar Kerteh, Kemaman. Jarak Hutan Lipur Air Menderu dari Bandar Chukai, Kemaman ialah kira-kira 53 km. 
Kawasan hutan lipur ini terdapat pelbagai flora dan fauna serta dapat dilihat melalui denai hutan di sini. Antara kemudahan yang terdapat di Hutan Lipur Air Menderu ini ialah pondok rehat, tandas awam, lorong pejalan kaki, bekalan air dan tapak perkhemahan. 

Antara aktiviti yang sering dilakukan pengunjung di Hutan Lipur Air Menderu ialah mandi-manda, berkelah, berkhemah, merentas hutan dan memerhati kehidupan liar. Selain dari itu, pengunjung juga berpeluang melawat Taman Botani yang di bawah jagaan Pejabat Hutan Daerah Terengganu Selatan.